Ahad, 11 Januari 2009

Minggu Pertamaku di Sekolah Sebagai Guru.

Selamat sejahtera aku ingin ucapkan kepada semua penulis blog yang aku kasihi terutama sekali kepada beberapa pembaca merangkap kawan baik yang selalu membaca dan sudi meluangkan masa untuk memberi komen dalam blog aku ni. Kalau didasarkan kepada tarikh catatan blog sebelum ini, boleh dikatakan sudah lebih seminggu aku tidak mengemaskini blog kesayangan aku ni. Bukan apa. Aku terpaksa menangguhkan pengemaskinian ini disebabkan beberapa kerja dan komitmen yang perlu dibereskan sementelahan kini pelajar-pelajar telah memulakan sesi persekolahan baru bagi tahun 2009. Jadi, banyak perkara seperti pengurusan kelas, jadual pengajaran, pengutipan yuran pelajar dan sebagainya perlu disemak dan diselesaikan terlebih dahulu berdasarkan tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dalam memastikan perjalanan sesi persekolahan pada minggu pertama ini dapat berjalan dengan lancar. Walaupun begitu, pengemaskinian blog ini tidak akan aku abaikan supaya para pembaca semua mendapat cerita yang terkini ditambah pula minat aku yang telah sekian lama terjebak dalam dunia Web 2.0 ini. Sebagai bonus untuk kali ini, aku akan menceritakan serba sedikit tentang apa aku telah lakukan dalam minggu pertama sesi persekolahan yang telah ditempuhi ini.

Hari Isnin:
Merupakan hari pertama aku selaku guru dan merangkap guru tingkatan kepada pelajar Tingkatan 2 Melati. Selesai mengetip kad kedatangan di mesin ketipan [punch card], aku telah diberikan jadual waktu guru versi 1. Mengapa versi 1? Ini adalah kerana ia boleh berubah selepas ini mengikut keperluan sekolah. Dari situ, barulah aku mengetahui bahawa aku telah diamanahkan untuk mengajar subjek Sains Tingkatan 2 dan Sivik Tingkatan 4. Aku terfikir juga kenapa tidak diberitahu awal-awal supaya aku boleh melakukan persediaan mengajar yang sepatutnya. Jadi pada paginya seperti biasa, aku boleh agak semua sekolah akan melakukan perhimpunan rasmi mereka yang pertama pada tahun 2009 ini. Tapi lain pula halnya dengan sekolah aku, perhimpunan rasminya akan dilakukan pada keesokan hari disebabkan ada beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Pada pagi itu rupa-rupanya diadakan perhimpunan ringkas atau dengan kata lain tidak rasmi. Apa yang perlu dilakukan ialah aku selaku guru tingkatan dikehendaki mengiringi pelajar kelas masing-masing disebabkan ada berlaku perubahan lokasi kelas dan nama kelas [yang sebelumnya menggunakan perwakilan nama huruf abjad ditukar kepada perwakilan nama bunga]. Selain itu, aku juga dikehendaki untuk melantik ahli jawatankuasa yang biasa ada di kelas seperti ketua darjah, penolong, setiausaha, bendahari, dan jawatankuasa yang berkaitan. Memang penat sikit untuk ke kelas aku tu sebab terletak di tingkat 4. Jadi, boleh boleh la turun sikit berat badan aku yang telah mendadak dalam beberapa tahun ni. Itu yang aku harapkan.

Hari Selasa:
Pada semalamnya, aku telah dimaklumkan bahawa pengajaran Sains sudah bermula. Jadi menggelabah sikit aku pada waktu tu. Nasib baik aku terfikir untuk pergi ke makmal untuk bertanyakan pada guru senior yang duduk di situ. Ini semua gara-gara aku lambat mendapat tahu subjek aku akan ajar. Jadi tidaklah aku pergi ke mesyuarat panitia Sains yang dilakukan pada hujung tahun lepas. Kalau aku pergi mesyuarat tu, mesti aku dah tahu apa yang perlu dibuat, buku apa yang kena ada, macam mana prosedur kalu nak buat eksperimen dalam makmal. Jadi hampir semua masalah yang aku alami itu telah aku selesaikan pada hari Isninnya. Jadi pada hari Selasa ini, aku telah menempa sejarah kehidupan aku iaitu memulakan tugas hakiki guru dalam mendidik anak bangsa Malaysia agar cemerlang dari segi rohani, emosi, intelek dan jasmani. Mujurlah subjek Sains ini proses pengajarannya berlaku di makmal. Jenuh juga aku nak melangkau ke tingkat 4 tu tiap-tiap hari. Tapi tadi aku kata nak menurunkan berat badan. Kuang kuang kuang [ala-ala trademark Aznil dahulu]. Pada hari ini juga, aku telah dimaklumkan mengenai mesyuarat guru tingkatan yang diadakan pada 1.30 petang. Aku selaku guru tingkatan kenalah hadir. Dan aku memang ingin pergi sebab pengalaman aku yang masih sedikit menuntut aku untuk menimba pengetahuan dan pengalaman mengenai pengurusan kelas tingkatan masing-masing.

Hari Rabu:
Hari ini tiada Sains yang perlu diajar. Walaupun begitu, ini tidak bermakna aku duduk rehat sahaja di bilik guru kerana aku ada subjek Sivik yang perlu diajar di 2 buah kelas tingkatan 4. Beberapa hari sebelum ini, aku ada juga Sivik. Tapi aku tidak masuk sebab kesemua pelajar Tingkatan 4 masih menghadiri sesi orientasi anjuran sekolah sementelahan mereka telah melepasi tahap peperiksaan PMR yang lalu. Jadi, sesi ini diadakan untuk memberikan pendedahan tentang apa yang berlaku pada mereka pada masa akan datang. Apabila aku masuk ke kelas tersebut, aku memang sudah bersedia dengan pelbagai idea dan dialog yang akan dituturkan supaya tidak berlaku suasana diam secara tiba-tiba akibat terputus idea. Sebabnya ini adalah pertama kali aku mengajar Subjek Sivik ini memandangkan subjek ini masih baru diperkenalkan di sekolah atas tuntutan semasa. Tambahan lagi, aku tidak pernah belajar Sivik di sekolah [tapi semestinyalah aku belajar sendiri atau telah diintegrasikan dalam subjek lain pada masa itu]. Lain dengan subjek Sains yang aku dah biasa sejak dari sekolah rendah lagi. Syukur aku panjatkan sebab dapat mengajar juga subjek ini dengan elok berikutan aku telah melakukan persediaan pada malam sebelumnya. Semasa waktu akhir, aku telah dipanggil oleh GPK Ko-K untuk menghadiri mesyuarat pengisian markah 10% kokurikulum di SM Teknik Batu Pahat bersama beliau. Jadi ini boleh dikatakan mesyuarat besar pertama yang aku hadiri dalam perkhidmatan awal sebagai guru. Seterusnya, aku telah dilantik sebagai guru data Ko-K secara automatik. Walaupun berat untuk aku menerimanya, tapi aku menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang perlu aku pikul dalam menimba pengalaman-pengalaman baru di perkhidmatan perguruan ini. Sebab walaupun tugas hakiki kita ialah mendidik dan mengajar subjek yang berkaitan, kita juga perlu terlibat serba sedikit dalam beberapa jawatankuasa yang telah diwujudkan di sekolah.

Hari Khamis:
Tugas pengajaran dan pembelajaran aku diteruskan dengan beberapa kelas yang perlu aku masuki. Terdapat 2 kelas untuk Sains Tingkatan 2 dan 2 kelas lagi ialah Sivik Tingkatan 4. Hari ini aku sudah mula mengadaptasikan cara pengajaran dan pembelajaran bagi subjek Sains dan Sivik yang sesuai bagi tahap pelajar yang aku diamanahkan. Tidak seperti hari-hari awal aku mengajar di sekolah di mana aku tidak berapa nampak apakah yang ingin dikehendaki oleh sesuatu topik itu. Kini aku sudah mula memahaminya dan secara tidak langsung dapat memperbaiki mutu pengajaran aku di dalam kelas agar para pelajar dapat mempelajari sesuatu topik dengan berkesan. Ini juga adalah perlu supaya para pelajar dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam subjek seperti Sains dan Sivik ke dalam kehidupan mereka. Itulah antara matlamat pendidikan sebenarnya.

Hari Jumaat:
Hari ini adalah boleh dikatakan hari yang paling padat dalam jadual aku. Tapi aku sudah bersedia untuk menghadapinya. Pada paginya dimulakan dengan bacaan Yasin bersempena dengan hari Jumaat. Bagi yang bukan beragama Islam pula diasingkan ke tempat berkumpul yang lain dengan aktiviti mereka sendiri atas pantauan guru yang bukan beragama Islam. Setelah selesai bacaan Yasin, aku bergegas ke makmal disebabkan masa pertama adalah masa aku untuk kelas Sains. Selain itu, aku juga perlu bersedia awal supaya pengajaran aku menggunakan persembahan multimedia dari cakera padat [CD] Sains yang dibekalkan oleh kementerian tidak mengalami masalah dari segi sistem teknikalnya. Seterusnya proses pengajaran dan pembelajaran di kelas aku pada hari itu dapat berjalan dengan berkesan.

KESIMPULAN:
Apa yang aku rasa pada minggu ini sebagai guru baru pada minggu pertama? Boleh dikatakan agak letih juga sebab kena urus banyak benda dan perkara. Tambahan pula aku telah dilantik sebagai guru tingkatan yang bertanggungjawab menguruskan segala hal ehwal pelajar di kelas yang aku diamanahkan. Belum lagi campur dengan tugas jawatankuasa yang telah ditetapkan kepada aku. Walau bagaimanapun, ini semua adalah lumrah pada awal sesi persekolahan serta sesi yang akan mendatang. Jadi, pendirian aku adalah dengan menganggap semua ini sebagai satu kewajipan dan tanggungjawab yang perlu digalas dalam memastikan pelajarnya cemerlang dari segi rohani, emosi, intelek dan jasmani; serta sekolahnya yang cemerlang dalam melahirkan pelajar berkualiti dan memenuhi konsep modal insan yang kini semakin menjadi tumpuan dalam institusi pendidikan negara kita dari peringkat prasekolah hinggalah di institusi pengajian tinggi.

Tiada ulasan: