Ahad, 29 Mac 2009

Pengumuman Mengenai Perpindahan Blog Aku dari Blogger ke Wordpress.com

Salam sejahtera kepada semua penulis blog [bloggers] di luar sana. Kalu dilihat kepada kemasukan yang lepas, sudah agak lama aku tak mengemaskini blog ini sehinggalah ke hari ini. Jadi, hari ni aku nak mengumumkan bahawa secara rasminya blog ini tidak akan ada lagi kemasukan yang terbaru atau dengan kata lain akan dihentikan pengemaskiniannya bermula esok. Dan bermula sekarang korang telah boleh mengikuti perkembangan terbaru aku di blog Wordpress.com. Memang aku rasa sayang dengan akaun blog ini, tapi disebabkan masalah2 teknikal yang melanda akaun Blogger aku ini telah menyebabkan aku memutuskan untuk menghentikan kemaskini ini. Aku tak pasti apa puncanya sehingga berlakunya masalah teknikal ini. Namun kecintaan aku dalam dunia penulisan blog ini tidak pernah surut. Korang pun taukan dalam dunia Internet terdapat banyak lagi platform penulisan blog lain yang tidak kurang hebatnya seperti Wordpress.com, Windows Live Spaces, LiveJournal malahan dalam Friendster pun ada platform blog jugak. Jadi, aku telah memilih Wordpress.com sebagai platform blog aku yang terbaru demi meneruskan semangat penulisan blog yang telah lebih setahun aku ceburinya. Di sini juga aku akan menyatakan alamat terbaru blog aku iaitu di:

Sabtu, 7 Mac 2009

Pemanduan Yang Menggerunkan; Memenuhi Keinginan Besar di Pizza Hut.

1. Malam semalam, entah macam mana aku tergerak hati untuk pergi ke bandar Batu Pahat walaupun sebenarnya aku baru balik dari stadium selepas berakhirnya kejohanan olahraga MSSD. Mungkin sebab aku bosan dok di umah aku yang panas membahang semalam  atau mungkin juga keinginan aku yang dah lama tak makan pasta atau mungkin sebab aku malas nak menghadap housemate yang poyo tu. Yang pasti kemungkinan kedua itu yang lebih kuat [ memang dah nature aku kalu pasal makanan ni ] berbanding dengan kemungkinan lain. Jadi bermulalah pemanduan aku dari rumah tepat selepas selesai aku solat Maghrib untuk ke Batu Pahat yang terletak lebih kurang dalam 20km tu [ boleh dikatakan dalam 1/2 jam jugak perjalanan ]. Sepanjang perjalanan tu biasalah ada yang bawak kereta perlahan nak mampus sampai berderet kereta kat belakang. Tak kurang jugak yang laju gile macam nak takde hari esok baginya. Lagi satu yang paling bahaya bagi aku adalah motorsikal yang berjalan di waktu malam. Memang aku akui di sepanjang jalan untuk ke bandar akan banyak kampung yang berada di tepi jalan utama. Dan memang dah lumrah kalu banyak motorsikal yang bersimpang-siur bagai nak gile sebab diaorang tu kebanyakannya tak amik lesen lagi. Budak sekolah rendah pun dah pandai bawak motor korang bayangkan. Yang aku nak tekankan di sini tentang bahayanya motorsikal apabila lampu belakang motor itu tidak menyala atau tidak dipasang. Itulah yang berlaku kat aku semalam bila tiba-tiba je motor tu muncul di depan kereta aku. Nasib baik kereta waktu tu tak banyak. Dapat aku elak dengan selamat.  Satu lagi aku tengok kalu kereta tu yang keluar dari satu simpang secara tiba-tiba. Itu jugak berlaku kat aku semalam. Kebetulan kereta waktu pun agak banyak. Nasib baik dapat elak dengan selamat sekali lagi.  Tak suka aku kalu kereta baru aku dah bergesel. Aku pelik juga waktu tu melihatkan bilangan kenderaan yang agak banyak waktu tu. Berderet-deret. Baru aku teringat mungkin diaorang semua ni dalam perjalanan nak balik kampung. Maklum la cuti tiga hari. Semasa aku balik dari bandar tu pun macam tu jugak. Ada kereta yang memotong belah kiri dan ada jugak yang memotong belah kanan tanpa tengok kereta yang datang dari arah bertentangan. Takut rumah tu lari ke sampai memotong macam tu sekali cik adik dan cik abang oi.
2. Seperti yang aku telah nyatakan. Aku teringin sekali nak makan pasta yang telah sekian lama aku tidak menjamahnya. Nak masak sendiri pun aku tak berapa mahir. Macam orang tengah mengidam pulak. Kiranya aku nak melayan selera besar aku yang wujud pada waktu itu. Jadi aku pergi jelah ke Pizza Hut kat BP Mall tu. Sesampai di Pizza Hut tu, aku cuba juga melihat kot-kot ada yang menu menarik di situ. Walau macam mana pun, aku tetap nak makan pasta jugak. Aku telah disambut dengan ayat-ayat sambutan yang telah dituturkan laju bagaikan robot dan agak stereotaip oleh pelayan di situ. Nak tergelak puan ada. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah tersenyum melihat gelagat mereka. Servis yang diberikan pun bagus dan cepat. Apa yang sampai dulu terus aku ngap sementelahan perut tengah lapar. Harga keseluruhan yang aku kena bayar ialah RM15.45. Walau apa pun aku tak kisah harganya asalkan keinginan aku dapat dipenuhi dan perut pun gembira sebab kenyang.

Jumaat, 27 Februari 2009

Keje Oh Keje.

Aduhai minggu ni! Entah sampai bile benda ni nak berakhir. Ada je mende nak datang kat aku. Tak kira la di meja kat bilik guru, kat kantin ke, atau bole dikatakan kat mana2 je la. Itulah dia keje. Sebenarnya kalu dah jadi cikgu ni, bukan hanya kena mengajar je malahan kena melakukan kerja-kerja pentadbiran jugak. Ada mesyuarat la; lepas tu kena wakil sekolah untuk mesyuarat PPD la; masuk jawatankuasa tu, jawatankuasa ini; siapkan itu la, siapkan ini; budak-budak buat hal; dan macam-macam lagi la. Semua ini menuntut kita menyelesaikannya dengan penuh komitmen dan kebertanggungjawaban. Tempoh kerjaya aku pun lama lagi iaitu 35 tahun akan datang, baru dapat bersara. Jadi timbul persoalan di sini apakah daya ketahanan aku terhadap segala cabaran yang mendatang dapat dikekalkan atau ditingkatkan dalam selama tempoh 35 tahun itu? Kadang-kadang dalam duduk2 sambil menyiapkan perancangan mengajar kat kerusi aku tu, ada jugak aku terfikir sampai bila aku boleh bertahan dengan situasi ini. Mungkin ada di antara kalian mungkin mempertikaikan bahawa takkan cikgu nak duduk goyang kaki je atau mengajar je, kena la buat kerja lain jugak sepadan dengan gaji yang dah naik itu. Tapi aku nak bagitau di sini bahawa sekiranya kalian berada di tempat aku, barulah tahu dan mengalami situasi yang dialami oleh aku ini. Walaupun begitu, aku juga turut terfikir adakah mungkin ini adalah satu permainan perasaan yang melingkar serta cuba untuk menganggu-gugat pemikiran dan semangat aku yang masih baru dan kuat dalam menghadapi kerjaya mencabar ini. Jika dilihat kepada rakan-rakan sekerja aku yang lebih senior di sekolah itu, bagaimanakah mereka boleh dan mampu mengatasi rintangan yang mungkin dialami sama oleh aku sewaktu mereka di awal-awal kerjaya perguruan ini? Apakah tindakan mereka untuk menangkis segala kegundahan hati dan perasaan yang melanda di sepanjang perkhidmatan mereka? Oleh itu, untuk menjawab segala persoalan ini haruslah aku ajukan segala persoalan ini kepada mereka supaya dapat aku perbetulkan minda yang sudah terpesong dengan anasir-anasir luaran yang tidak sepatutnya. Sepatutnya aku perlu bersyukur kerana telah mendapat satu pekerjaan tetap yang terjamin masa depannya kalau dilihatkan ke dalam situasi ekonomi yang tidak menentu akibat keruntuhan sistem kewangan antarabangsa yang ditunjangi oleh Amerika Syarikat di mana ramai orang di luar sana menganggur akibat penutupan operasi oleh syarikat luar yang melabur di negara kita. Kesimpulannya, apa yang perlu aku lakukan sekarang ialah perlu senantiasa berfikiran positif agar kerjaya yang aku pilih ini dapat menjanjikan suatu kenikmatan dan kepuasan dalam mendidik anak bangsa Malaysia agar berjaya dan maju selaras dengan tuntutan agama kita.

Sabtu, 21 Februari 2009

Salah Siapa: Guru atau Pelajar?; Mengecat Mural.

1. Sudah lama ya aku tidak mengemaskini blog kesayangan nih. Sudah lari dari tempoh yang biasa aku ambil untuk mengemaskini blog dengan cerita-cerita dan perkembangan terbaru tentang diri aku. Ini semua adalah disebabkan oleh tuntutan kerja yang sentiasa datang kepada aku tanpa diduga. Ditambah dengan mesyuarat sekolah yang perlu dilakukan demi memastikan kelicinan perlaksanaan arahan pentadbiran. Jadi kepada bakal cikgu-cikgi di luar sana yang masih menuntut, inilah realiti kerja yang mesti dihadapi di samping melayan dan mengawal kerenah pelajar-pelajar yang entah pelbagai 'peel'nya. Hari Khamis baru ni, sekolah aku telah mengadakan hari kejohanan sekolah yang mana boleh boleh dipanggil juga sebagai sukan tahunan. Balik je rumah, terus melayang badan ke atas katil atas sebab tahap kepenatan yang tinggi selepas acara itu. Hari Isnin sampai Rabu, sekolah ada ujian bulanan. Memang relaks sangat waktu tu. Tapi bila dah lepas subjek ujian tu, mulalah sampai kertas ujian kelas yang kita ajar tu kat atas meja. Banyak tu nak kena tanda. Bercakap mengenai ujian bulanan sekolah aku baru-baru ni. Aku tak pastilah siapa yang harus dipersalahkan dalam konteks ini. Memang aku akui, aku masih lagi baru dalam dunia pendidikan ini. Akan tetapi apabila dilihatkan kepada prestasi subjek Sains pelajar kelas yang aku ajar, aku rasa amat sedih. Padahal aku dah beritahu tajuk-tajuk yang akan masuk dalam ujian itu, malahan telah diulang beberapa kali semasa dalam proses pengajaran. Namun, pelajar tetap juga tidak dapat menjawab soalan ujian yang telah dihadapi. Soalan pula banyak yang mirip dengan dalam buku kerja Sains yang mereka telah beli. Aku tak tahu nak buat macam mana lagi. Mungkin lepas ni aku terpaksa mengatur strategi pengajaran terbaru supaya pelajar dapat memahami dan menyerap segala ilmu yang aku telah ajar. Atau mungkinkah juga Tuhan ingin menduga aku dengan cabaran ini. Walau apapun, aku tetap akan terus memperbaiki dan berusaha untuk mendidik pelajar-pelajar di bawah tanggungjawab aku supaya mereka berjaya dengan cemerlang dalam subjek Sains ini.
2. Dalam 2 minggu ni, aku juga telah ditugaskan dengan beberapa rakan aku untuk menyiapkan satu lukisan mural atas arahan pengetua. Kami nak tak nak kenalah mengorbankan cuti hujung minggu untuk menyiapkan mural ini bersama dengan beberapa pelajar Tingkatan 6 . Walaupun aku tidak berapa mahir dalam lukisan seni ni. Tapi cukuplah sekadar aku mahir mengecat huruf-huruf yang diperlukan. Sebenarnya, melukis mural ini telah menjadi tradisi bagi guru-guru yang baru seperti aku untuk terlibat kerja seperti ini. Kalau tak percaya boleh tanya cikgu-cikgu yang dah lama mengajar. Mereka pasti pernah ditugaskan untuk buat benda ni. Syukur aku kerana kesemua huruf yang harus ditulis telah siap dicat. Cuma tinggal nak buat sedikit kerawangnya sahaja. Tugas membuat kerawang itu telah ditugaskan kepada orang lain. Yang pasti tugas aku dah hampir selesai dan tak sabar nak lihat hasil akhirnya.

Khamis, 12 Februari 2009

Pelantikan Sebagai Guru Disiplin. Pengalaman Pertama Jadi Guru Bertugas.

1. Agak mengejutkan apa yang berlaku hari ni. Dan memang aku tak sangka betul benda macam ini boleh berlaku. Aku secara rasminya kini telah bergelar sebagai salah seorang guru disiplin sekolah yang bertindak sebagai satu unit pengawalan disiplin pelajar dan penguatkuasaan peraturan sekolah. Pelantikan ini telah disampaikan oleh Cif Insp. Rosnani binti Azhar, Pegawai Perhubungan Sekolah di daerah Batu Pahat [muda lagi polis ni] selaku perasmi bagi Majlis Pelantikan Guru Disiplin, Pengawas dan Ketua Tingkatan pada pagi tadi. Sebenarnya aku diletakkan dalam bahagian E-Disiplin iaitu salah satu cabang dalam Unit Disiplin Sekolah. Bahagian ini berfungsi sebagai membuat rekod disiplin pelajar secara berkomputer [sebab pihak sekolah tahu aku ni pandai skit dalam bab2 komputer ni] di mana dari situ segala kesalahan pelajar akan diberikan merit markah berdasarkan tahap kesalahan pelajar tersebut dan seterusnya dijana merit itu untuk melihat tahap keseriusan disiplin pelajar terbabit. Aku ingatkan jadi guru biasa je dalam bahagian E-Disiplin. Rupa-rupanya kena bertindak juga sebagai guru disiplin. Nak tak nak terima jelah. Sekurang-kurangnya aku dapat menimba serba sedikit pengalaman dalam bidang menangani disiplin pelajar di sekolah ini. Yang menariknya di sini pihak sekolah juga telah sudi untuk menyediakan juga sebatang rotan kepada setiap guru disiplin ini dan termasuklah aku. Kepada sesiapa yang mengenali aku, mesti tak percaya dengan semua ini kan.
2. Minggu ini aku juga telah bertindak sebagai guru bertugas dengan bersama beberapa orang guru lain kalau dilihat pada takwim sekolah. Walaupun ini kali pertama aku menyandangnya, aku akan berusaha dengan sedaya upaya untuk dilaksanakan dengan sebaiknya dan penuh kebertanggungjawaban. Pada hari ini, aku juga telah merasai pengalaman tentang bagaimana untuk menguruskan pelajar yang sakit. Setakat ini ada dua kes pelajar yang sakit aku uruskan. Kes yang pertama ialah pelajar yang demam atau sakit yang biasa-biasa. Jadi di sini, pelajar hanya dikehendaki mengambil borang sakit di pejabat dan terus pergi ke klinik yang terletak sangat berdekatan dengan sekolah aku ni. Untuk kes yang pertama ni, aku kena berhati-hati sikit sebab pelajar boleh mempergunakan borang sakitnya untuk pergi melepak-lepak di luar. Kes yang kedua pula ialah aku dikehendaki untuk membawa pelajar ke klinik sebab dia tak larat nak berjalan. Lepas tu, aku ingatkan sakit dia tak serius sangat. Setakat amik cuti sakit atau dipanggil MC dan terus balik ke rumah dia. Rupa-rupanya sakit pelajar ni dah melarat sehingga sesak nafas dibuatnya. Terus ambulan dipanggil dan dirujuk ke hospital besar di bandar. Aku dah gabra sikit waktu tu. Maklum la kali pertama dalam pengalaman aku ni. Terus bagi tau Kak Yam, salah seorang rakan sekerja yang memang baik dengan aku bagi panduan tentang apa yang harus lakukan. Kena la aku pergi sekali ke hospital tu untuk melihat perkembangan pelajar itu selagi ibubapanya tak sampai lagi. Akhirnya dalam pukul 3 petang, sampai juga ibubapa pelajar tu. Ada dalam 2-3 jam masa yang diambil untuk aku tunggu tu. Aku rasa lega lah sebab bosan sangat semasa tunggu kat bahagian kecemasan hospital tu. Sampai naik mengantuk dibuatnya. Pada masa yang sama, kiranya lepaslah tanggungjawab aku. Jadi sekarang aku dah memiliki pengalaman itu.

Sabtu, 7 Februari 2009

Alangkah Bahagianya Cuti Hujung Minggu Ni.

Semenjak aku dah menjadi seorang guru kini, cuti hujung minggu adalah hari yang paling aku nantikan. Rasa macam bahagia hidup ari tu. Iyelah. Waktu nilah baru aku dapat merehatkan minda dan fizikal setelah mengharungi lima hari persekolahan dengan segala beban kerja dan melayan kerenah bebudak di kelas yang pelbagai tu. Semalam petang, aku telah pergi membeli-belah sikit barang-barang keperluan aku di rumah. Biasanya makananlah yang selalu aku beli di situ sebagai stok tambahan di kala perut mengeroncong tiba-tiba di samping beberapa perkakas alatulis. Bila dah beli barang-barang tu, aku rasa macam lega sikit otak ni. Nak lepaskan stress la katakan. Sambil tu, sempat aku balun satu snack plate KFC ditambah dengan cheezy fried fries. Huhu. Ini ke gaya menu orang nak turunkan berat badan. Aku tak tau la. Per2 pun yang penting aku 'enjoy'. Walaupun begitu, aku tidaklah seratus peratus tak buat apa-apa kat umah ni. Adalah sikit keje kena buat. Kemas umah tu biasa lah bagi aku kalau hujung minggu ni. Lagi satu aku kena siapkan soalan ujian Sains untuk Tingkatan 2 yang akan dijalankan pada 2 minggu akan datang. Guru panitia dah siapkan jadual tu untuk giliran membuat soalan ni dan dalam jadual tu pulak aku yang kena buat untuk ujian pertama ni. Soalan dah pilih cuma tinggal nak taip dalam komputer je sebab minggu depan nak kena cetak soalan tu. Nasib baik ada tambahan satu hari cuti iaitu cuti hari Thaipusam. Takde lah tertekan sangat nak menyiapkannya.

Khamis, 5 Februari 2009

Politik Tanahair Kita Kembali Bergegar.

Amat mengejutkan kalau kita baca peristiwa politik akhir-akhir ini di mana terpampangnya di dada akhbar media arus perdana kita dan tidak terkecuali di aliran media alternatif yang kita tahu. Aku juga tidak terkecuali untuk turut mengikuti perkembangan ini. Dan sememangnya aku suka kalau perkara berkenaan bab politik ni. Hampir semua media ini memaparkan mengenai bagaimana kejatuhan kerajaan negeri Perak yang di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat hasil daripada apa yang boleh dikatakan sebagai 'tangan ajaib' BN. Seperti yang kita maklum, Badan Perhubungan UMNO Perak kini telah dipimpin oleh TPM kita. Oleh itu, dengan menggunakan kepakaran 'melesap' yang dimilikinya sebelum ini, akhirnya ketiga-tiga ADUN yang berjaya dilenyapkan sebelum ini dapat dijelmakan semula sebagai calon Bebas yang diyakini berpaksikan kepada BN. Ditambah lagi dengan keputusan Datuk Nasa yang telah mengisytiharkan telah keluar dari UMNO, mengejutkan kita dengan menyatakan untuk kembali semula ke pangkuan UMNO. Pelbagai reaksi berbeza dari pemimpin berkaitan turut aku dengar mengenai cara kejatuhan kerajaan negeri Perak ini. Yang paling menarik, aku juga mendapati ada beberapa orang UMNO yang berpengalaman tidak bersetuju dengan kuasa 'tangan ajaib' BN ini. Berdasarkan apa yang aku faham, mereka mengatakan bahawa ia boleh membawa kesan buruk kepada UMNO yang masih lagi dalam usaha pemulihan kerana sanggup menerima dua orang ADUN yang akan dibicarakan dengan tuduhan rasuah seks pada 10 Februari ini. Boleh tak korang bayangkan UMNO sanggup menerima orang yang macam ini? Selain itu, ia juga turut boleh memberi kesan kepada BN dalam menghadapi PRU13 yang akan datang. Malahan Tun Dr. Mahathir juga tidak ketinggalan turut meluahkan pandangan beliau terhadap perkembangan ini dan kurang bersetuju dengan tindakan yang diambil ini. Dikatakan juga, kenyataan SPR mengenai pengesahan surat peletakan jawatan oleh dua ADUN tersebut sebelum ini juga turut dikaitkan dengan strategi BN untuk mengelakkan pilihanraya diadakan kalau berdasarkan perkembangan pilihanraya kecil sebelum ini yang berpihak kepada Pakatan Rakyat. Oleh itu, marilah kita sama-sama renungkan sampai bila politik kita perlu macam ini. Kasi matanglah sikit. Biar sesuai dengan usia kemerdekaan negara kita yang dah 52 tahun. Rakyat pun dah pandai fikir tentang agenda yang sedang berlaku sekarang ini.

Nota: Kemasukan [entry] ini bukan bermaksud aku ni pro-Pakatan Rakyat. Tapi sekadar untuk meluahkan pandangan aku mengenai peristiwa yang berlaku di tanahair kita ini. Pandangan ini adalah hasil pembacaan aku di blog, media arus perdana dan tidak ketinggalan media alternatif.