Sabtu, 17 Januari 2009

Minggu Kedua Yang Masih Lagi Sibuk. Emosi Tak Stabil. Perancangan Bulanan.

1. Minggu kedua ini aku masih lagi sibuk dengan tugas-tugas berkaitan dengan pengurusan termasuk melengkapkan buku rekod pengajaran dan buku kedatangan pelajar tingkatan 2 yang aku pegang. Akan tetapi kurang sedikit bebanannya berbanding minggu lepas. Walau apapun, aku masih lagi dapat bertahan dengan tekanan yang dihadapi. Ditambah pula hubungan aku dengan guru-guru senior yang lain yang semakin baik dari hari ke hari walaupun pada awalnya aku telah mengesan beberapa guru senior yang kurang berkenan peribadinya kepada aku. Tapi telahan aku terhadap mereka kini turut berubah seiring dengan perhubungan aku dengan rakan sekerja yang turut meningkat. Pelbagai gurauan guru senior terutamanya dari guru lelaki yang sentiasa bergema di dalam bilik guru tatkala di masa terluang terutama sekali ketika hampir waktu balik telah biasa menjadi halwa telinga aku untuk menghiburkan hati. Ini sebenarnya merupakan satu inisiatif yang bagus bagi aku dalam mengurangkan bebanan dan tekanan di dalam diri aku ini.
2. Hari ini emosi aku ketika mengajar subjek Sains di satu kelas tiba-tiba berubah. Entah macam mana tiba-tiba aku naik angin disebabkan aku tidak tahan dengan kelas yang semakin bising apabila aku mengajar di depan. Akhirnya terluahlah perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka di dalam kelas. Sampai ada yang menutup telinga apabila aku mula membebel [ lelaki pun boleh membebel jugak]. Aku tak pasti di mana silapnya mereka walaupun aku mengakui bahawa aku masih lagi baru dalam menghadapi dunia pendidikan ini. Aku juga turut menyatakan kesedihan dan kekecewaan aku kepada mereka apabila melihatkan keputusan peperiksaan akhir kelas tersebut yang aku dapat dari guru tingkatan sebelumnya. Walaupun keputusan peperiksaan itu adalah tanggungjawab guru mereka yang mengajar tahun lepas, tetapi aku selaku guru yang mengajar dan mengurus mereka pada tahun ini perlu meluahkan ini semua supaya mereka sedar di mana kedudukan mereka sekarang. Apa yang aku ingin lakukan sekarang adalah untuk cuba mengubah persepsi pemikiran, sikap dan disiplin mereka agar dapat berjaya dalam pelajaran dan menjadi orang yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.
3. Seperti biasa apabila sudah menjadi orang bekerja seperti aku, aku perlulah merancang bajet bulanan supaya di hujung bulanan nanti tidaklah kena ikat perut. Walaupun setakat ini bajet aku masih lagi boleh dikawal alirannya, namun begitu perancangan ini perlu dilakukan juga. Agen-agen insurans juga telah mula memburu aku. Situasi ini memang lumrah dalam perkhidmatan kerajaan terutama guru baru macam aku. Tapi aku menerima mereka dengan tangan terbuka kerana aku suka mendengar promosi yang dilakukan mereka supaya membeli polisi insurans yang ditawarkan oleh syarikat mereka. Di akhir sesi penerangan mereka, aku tetap dengan pendirian aku untuk tunggu dahulu dan aku akui 'kekecewaan' yang dialami oleh mereka apabila aku berkata begitu. Dan hakikatnya mereka tidak perlu kecewa kerana aku sebagai pelanggan berhak untuk memilih yang mana satu aku minat. Jadi, tunggu je lah panggilan aku. Lagi satu halnya adalah berkaitan dengan PTPTN. Aku agak terkejut apabila diketahui ada penangguhan dalam pelaksanaan untuk menurunkan kos pentadbiran dari 3% ke 1%. Lepas tu pihak terbabit nak kena buat perjanjian baru ke atas peminjam-peminjam sebelum ini dan turut memberi alasan bahawa perlu mengemaskini maklumat peminjam. Takpe lah kalau dah kata macam tu. Aku tunggu je lah. Oleh itu, semua ini perlu juga aku masukkan dalam bajet bulanan yang aku buat.

1 ulasan:

apisz berkata...

tak balik ke cuti new year?