Rabu, 28 Januari 2009

Wajah Baru Laman Web UKM.




Turutan gambar di atas adalah beberapa 'screenshot' laman web UKM yang terbaru. Benda ni aku sedari apabila entah macam mana aku terasa nak melayari laman web UKM untuk melihat perkembangan terbaru universiti ni semalam. Tapi aku telah dihidangkan dengan paparan baru ni. Bagus jugak kemaskini ni. Nampak kemas skit. Tapi satu yang tak berubah lagi ialah laman e-Pelajar UKM. Masih lagi mcam dulu. Mungkin pihak UKM akan mengemaskininya kemudian. Satu lagi yang aku perasan adalah beberapa institut baru telah ditubuhkan. Atau mungkin dah ada sebelum ni, cuma hari ni baru aku tahu. Nak tahu apa institut baru tu, korang jelajah la sendiri laman tu ye.

Isnin, 26 Januari 2009

Tertangguh Lagi. Akhirnya Pulang. Wajah Baru Blog.

1. Aduhai! Aku tertangguh lagi untuk mengemaskini blog kesayangan aku ni yang biasanya dilakukan dalam tempoh seminggu. Jadi akhirnya, pada hari ni dapatlah aku menambahkan lagi kemasukan [entry] baru untuk blog kali ni. Ini semua berlaku gara-gara di sekolah aku ada hari merentas desa. Kena urus benda tu dulu. Ditambah pula lagi dengan tugas-tugas pengurusan sekolah yang menuntut aku menyelesaikannya dahulu. Buku 'register' kelas, buku rekod mengajar nak kena hantar, dan satu lagi kena kemaskini pulak maklumat pelajar di dalam Sistem Maklumat Murid [SMM]. Itupun diberitahu 'last minute'. Nasib baik hari Jumaat tu ada ruang masa yang agak panjang untuk aku menyelesaikan semua tu. Kalu tak naya juga nak siapkan semua tu.
2. Semasa blog ini ditulis, aku kini telah pulang kembali ke rumah. Nak melepaskan ketegangan [tension] yang dah 3 minggu kat sekolah. Nasib baik cuti Tahun Baru Cina ni sekolah amik seminggu. Boleh merehatkan minda dan fizikal dengan sepuas-puasnya. Sejak dah ade benda penting sendiri ni, boleh la aku memanjangkan langkah untuk pergi ke tempat yang aku nak. Tak macam dulu, terpaksa memerokkan diri dalam rumah apabila masa cuti sebab aku kurang gemar naik bas yang kini telah mula dipenuhi dengan warga asing. Sehinggakan aku rasa macam bukan di negeri aku sendiri.
3. Tetiba je blog aku ni dah berwarna biru ala-ala warna Facebook. Bukan apa. Aku kini sedang melakukan tugas untuk memberi wajah baru kepada blog aku ni. Supaya korang semua tak bosan asyik tengok rupa sama je. Jadi buat sementara waktu ni, aku guna 'template' yang sedia ada. Banyak ke sikit perubahan tu aku tak pasti. Bergantung kepada idea yang terkandung di benak kepala ni dan juga maklumbalas dari pembaca sebelum ini. Sekian.

Sabtu, 17 Januari 2009

Minggu Kedua Yang Masih Lagi Sibuk. Emosi Tak Stabil. Perancangan Bulanan.

1. Minggu kedua ini aku masih lagi sibuk dengan tugas-tugas berkaitan dengan pengurusan termasuk melengkapkan buku rekod pengajaran dan buku kedatangan pelajar tingkatan 2 yang aku pegang. Akan tetapi kurang sedikit bebanannya berbanding minggu lepas. Walau apapun, aku masih lagi dapat bertahan dengan tekanan yang dihadapi. Ditambah pula hubungan aku dengan guru-guru senior yang lain yang semakin baik dari hari ke hari walaupun pada awalnya aku telah mengesan beberapa guru senior yang kurang berkenan peribadinya kepada aku. Tapi telahan aku terhadap mereka kini turut berubah seiring dengan perhubungan aku dengan rakan sekerja yang turut meningkat. Pelbagai gurauan guru senior terutamanya dari guru lelaki yang sentiasa bergema di dalam bilik guru tatkala di masa terluang terutama sekali ketika hampir waktu balik telah biasa menjadi halwa telinga aku untuk menghiburkan hati. Ini sebenarnya merupakan satu inisiatif yang bagus bagi aku dalam mengurangkan bebanan dan tekanan di dalam diri aku ini.
2. Hari ini emosi aku ketika mengajar subjek Sains di satu kelas tiba-tiba berubah. Entah macam mana tiba-tiba aku naik angin disebabkan aku tidak tahan dengan kelas yang semakin bising apabila aku mengajar di depan. Akhirnya terluahlah perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka di dalam kelas. Sampai ada yang menutup telinga apabila aku mula membebel [ lelaki pun boleh membebel jugak]. Aku tak pasti di mana silapnya mereka walaupun aku mengakui bahawa aku masih lagi baru dalam menghadapi dunia pendidikan ini. Aku juga turut menyatakan kesedihan dan kekecewaan aku kepada mereka apabila melihatkan keputusan peperiksaan akhir kelas tersebut yang aku dapat dari guru tingkatan sebelumnya. Walaupun keputusan peperiksaan itu adalah tanggungjawab guru mereka yang mengajar tahun lepas, tetapi aku selaku guru yang mengajar dan mengurus mereka pada tahun ini perlu meluahkan ini semua supaya mereka sedar di mana kedudukan mereka sekarang. Apa yang aku ingin lakukan sekarang adalah untuk cuba mengubah persepsi pemikiran, sikap dan disiplin mereka agar dapat berjaya dalam pelajaran dan menjadi orang yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.
3. Seperti biasa apabila sudah menjadi orang bekerja seperti aku, aku perlulah merancang bajet bulanan supaya di hujung bulanan nanti tidaklah kena ikat perut. Walaupun setakat ini bajet aku masih lagi boleh dikawal alirannya, namun begitu perancangan ini perlu dilakukan juga. Agen-agen insurans juga telah mula memburu aku. Situasi ini memang lumrah dalam perkhidmatan kerajaan terutama guru baru macam aku. Tapi aku menerima mereka dengan tangan terbuka kerana aku suka mendengar promosi yang dilakukan mereka supaya membeli polisi insurans yang ditawarkan oleh syarikat mereka. Di akhir sesi penerangan mereka, aku tetap dengan pendirian aku untuk tunggu dahulu dan aku akui 'kekecewaan' yang dialami oleh mereka apabila aku berkata begitu. Dan hakikatnya mereka tidak perlu kecewa kerana aku sebagai pelanggan berhak untuk memilih yang mana satu aku minat. Jadi, tunggu je lah panggilan aku. Lagi satu halnya adalah berkaitan dengan PTPTN. Aku agak terkejut apabila diketahui ada penangguhan dalam pelaksanaan untuk menurunkan kos pentadbiran dari 3% ke 1%. Lepas tu pihak terbabit nak kena buat perjanjian baru ke atas peminjam-peminjam sebelum ini dan turut memberi alasan bahawa perlu mengemaskini maklumat peminjam. Takpe lah kalau dah kata macam tu. Aku tunggu je lah. Oleh itu, semua ini perlu juga aku masukkan dalam bajet bulanan yang aku buat.

Ahad, 11 Januari 2009

Minggu Pertamaku di Sekolah Sebagai Guru.

Selamat sejahtera aku ingin ucapkan kepada semua penulis blog yang aku kasihi terutama sekali kepada beberapa pembaca merangkap kawan baik yang selalu membaca dan sudi meluangkan masa untuk memberi komen dalam blog aku ni. Kalau didasarkan kepada tarikh catatan blog sebelum ini, boleh dikatakan sudah lebih seminggu aku tidak mengemaskini blog kesayangan aku ni. Bukan apa. Aku terpaksa menangguhkan pengemaskinian ini disebabkan beberapa kerja dan komitmen yang perlu dibereskan sementelahan kini pelajar-pelajar telah memulakan sesi persekolahan baru bagi tahun 2009. Jadi, banyak perkara seperti pengurusan kelas, jadual pengajaran, pengutipan yuran pelajar dan sebagainya perlu disemak dan diselesaikan terlebih dahulu berdasarkan tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dalam memastikan perjalanan sesi persekolahan pada minggu pertama ini dapat berjalan dengan lancar. Walaupun begitu, pengemaskinian blog ini tidak akan aku abaikan supaya para pembaca semua mendapat cerita yang terkini ditambah pula minat aku yang telah sekian lama terjebak dalam dunia Web 2.0 ini. Sebagai bonus untuk kali ini, aku akan menceritakan serba sedikit tentang apa aku telah lakukan dalam minggu pertama sesi persekolahan yang telah ditempuhi ini.

Hari Isnin:
Merupakan hari pertama aku selaku guru dan merangkap guru tingkatan kepada pelajar Tingkatan 2 Melati. Selesai mengetip kad kedatangan di mesin ketipan [punch card], aku telah diberikan jadual waktu guru versi 1. Mengapa versi 1? Ini adalah kerana ia boleh berubah selepas ini mengikut keperluan sekolah. Dari situ, barulah aku mengetahui bahawa aku telah diamanahkan untuk mengajar subjek Sains Tingkatan 2 dan Sivik Tingkatan 4. Aku terfikir juga kenapa tidak diberitahu awal-awal supaya aku boleh melakukan persediaan mengajar yang sepatutnya. Jadi pada paginya seperti biasa, aku boleh agak semua sekolah akan melakukan perhimpunan rasmi mereka yang pertama pada tahun 2009 ini. Tapi lain pula halnya dengan sekolah aku, perhimpunan rasminya akan dilakukan pada keesokan hari disebabkan ada beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Pada pagi itu rupa-rupanya diadakan perhimpunan ringkas atau dengan kata lain tidak rasmi. Apa yang perlu dilakukan ialah aku selaku guru tingkatan dikehendaki mengiringi pelajar kelas masing-masing disebabkan ada berlaku perubahan lokasi kelas dan nama kelas [yang sebelumnya menggunakan perwakilan nama huruf abjad ditukar kepada perwakilan nama bunga]. Selain itu, aku juga dikehendaki untuk melantik ahli jawatankuasa yang biasa ada di kelas seperti ketua darjah, penolong, setiausaha, bendahari, dan jawatankuasa yang berkaitan. Memang penat sikit untuk ke kelas aku tu sebab terletak di tingkat 4. Jadi, boleh boleh la turun sikit berat badan aku yang telah mendadak dalam beberapa tahun ni. Itu yang aku harapkan.

Hari Selasa:
Pada semalamnya, aku telah dimaklumkan bahawa pengajaran Sains sudah bermula. Jadi menggelabah sikit aku pada waktu tu. Nasib baik aku terfikir untuk pergi ke makmal untuk bertanyakan pada guru senior yang duduk di situ. Ini semua gara-gara aku lambat mendapat tahu subjek aku akan ajar. Jadi tidaklah aku pergi ke mesyuarat panitia Sains yang dilakukan pada hujung tahun lepas. Kalau aku pergi mesyuarat tu, mesti aku dah tahu apa yang perlu dibuat, buku apa yang kena ada, macam mana prosedur kalu nak buat eksperimen dalam makmal. Jadi hampir semua masalah yang aku alami itu telah aku selesaikan pada hari Isninnya. Jadi pada hari Selasa ini, aku telah menempa sejarah kehidupan aku iaitu memulakan tugas hakiki guru dalam mendidik anak bangsa Malaysia agar cemerlang dari segi rohani, emosi, intelek dan jasmani. Mujurlah subjek Sains ini proses pengajarannya berlaku di makmal. Jenuh juga aku nak melangkau ke tingkat 4 tu tiap-tiap hari. Tapi tadi aku kata nak menurunkan berat badan. Kuang kuang kuang [ala-ala trademark Aznil dahulu]. Pada hari ini juga, aku telah dimaklumkan mengenai mesyuarat guru tingkatan yang diadakan pada 1.30 petang. Aku selaku guru tingkatan kenalah hadir. Dan aku memang ingin pergi sebab pengalaman aku yang masih sedikit menuntut aku untuk menimba pengetahuan dan pengalaman mengenai pengurusan kelas tingkatan masing-masing.

Hari Rabu:
Hari ini tiada Sains yang perlu diajar. Walaupun begitu, ini tidak bermakna aku duduk rehat sahaja di bilik guru kerana aku ada subjek Sivik yang perlu diajar di 2 buah kelas tingkatan 4. Beberapa hari sebelum ini, aku ada juga Sivik. Tapi aku tidak masuk sebab kesemua pelajar Tingkatan 4 masih menghadiri sesi orientasi anjuran sekolah sementelahan mereka telah melepasi tahap peperiksaan PMR yang lalu. Jadi, sesi ini diadakan untuk memberikan pendedahan tentang apa yang berlaku pada mereka pada masa akan datang. Apabila aku masuk ke kelas tersebut, aku memang sudah bersedia dengan pelbagai idea dan dialog yang akan dituturkan supaya tidak berlaku suasana diam secara tiba-tiba akibat terputus idea. Sebabnya ini adalah pertama kali aku mengajar Subjek Sivik ini memandangkan subjek ini masih baru diperkenalkan di sekolah atas tuntutan semasa. Tambahan lagi, aku tidak pernah belajar Sivik di sekolah [tapi semestinyalah aku belajar sendiri atau telah diintegrasikan dalam subjek lain pada masa itu]. Lain dengan subjek Sains yang aku dah biasa sejak dari sekolah rendah lagi. Syukur aku panjatkan sebab dapat mengajar juga subjek ini dengan elok berikutan aku telah melakukan persediaan pada malam sebelumnya. Semasa waktu akhir, aku telah dipanggil oleh GPK Ko-K untuk menghadiri mesyuarat pengisian markah 10% kokurikulum di SM Teknik Batu Pahat bersama beliau. Jadi ini boleh dikatakan mesyuarat besar pertama yang aku hadiri dalam perkhidmatan awal sebagai guru. Seterusnya, aku telah dilantik sebagai guru data Ko-K secara automatik. Walaupun berat untuk aku menerimanya, tapi aku menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang perlu aku pikul dalam menimba pengalaman-pengalaman baru di perkhidmatan perguruan ini. Sebab walaupun tugas hakiki kita ialah mendidik dan mengajar subjek yang berkaitan, kita juga perlu terlibat serba sedikit dalam beberapa jawatankuasa yang telah diwujudkan di sekolah.

Hari Khamis:
Tugas pengajaran dan pembelajaran aku diteruskan dengan beberapa kelas yang perlu aku masuki. Terdapat 2 kelas untuk Sains Tingkatan 2 dan 2 kelas lagi ialah Sivik Tingkatan 4. Hari ini aku sudah mula mengadaptasikan cara pengajaran dan pembelajaran bagi subjek Sains dan Sivik yang sesuai bagi tahap pelajar yang aku diamanahkan. Tidak seperti hari-hari awal aku mengajar di sekolah di mana aku tidak berapa nampak apakah yang ingin dikehendaki oleh sesuatu topik itu. Kini aku sudah mula memahaminya dan secara tidak langsung dapat memperbaiki mutu pengajaran aku di dalam kelas agar para pelajar dapat mempelajari sesuatu topik dengan berkesan. Ini juga adalah perlu supaya para pelajar dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam subjek seperti Sains dan Sivik ke dalam kehidupan mereka. Itulah antara matlamat pendidikan sebenarnya.

Hari Jumaat:
Hari ini adalah boleh dikatakan hari yang paling padat dalam jadual aku. Tapi aku sudah bersedia untuk menghadapinya. Pada paginya dimulakan dengan bacaan Yasin bersempena dengan hari Jumaat. Bagi yang bukan beragama Islam pula diasingkan ke tempat berkumpul yang lain dengan aktiviti mereka sendiri atas pantauan guru yang bukan beragama Islam. Setelah selesai bacaan Yasin, aku bergegas ke makmal disebabkan masa pertama adalah masa aku untuk kelas Sains. Selain itu, aku juga perlu bersedia awal supaya pengajaran aku menggunakan persembahan multimedia dari cakera padat [CD] Sains yang dibekalkan oleh kementerian tidak mengalami masalah dari segi sistem teknikalnya. Seterusnya proses pengajaran dan pembelajaran di kelas aku pada hari itu dapat berjalan dengan berkesan.

KESIMPULAN:
Apa yang aku rasa pada minggu ini sebagai guru baru pada minggu pertama? Boleh dikatakan agak letih juga sebab kena urus banyak benda dan perkara. Tambahan pula aku telah dilantik sebagai guru tingkatan yang bertanggungjawab menguruskan segala hal ehwal pelajar di kelas yang aku diamanahkan. Belum lagi campur dengan tugas jawatankuasa yang telah ditetapkan kepada aku. Walau bagaimanapun, ini semua adalah lumrah pada awal sesi persekolahan serta sesi yang akan mendatang. Jadi, pendirian aku adalah dengan menganggap semua ini sebagai satu kewajipan dan tanggungjawab yang perlu digalas dalam memastikan pelajarnya cemerlang dari segi rohani, emosi, intelek dan jasmani; serta sekolahnya yang cemerlang dalam melahirkan pelajar berkualiti dan memenuhi konsep modal insan yang kini semakin menjadi tumpuan dalam institusi pendidikan negara kita dari peringkat prasekolah hinggalah di institusi pengajian tinggi.

Khamis, 1 Januari 2009

Menjelangnya Tahun 2009. Kena Bantu Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1. Panggilan Dari Sekolah.

1. Kini kita telah masuk tahun 2009. Aku tahu masing-masing dah ader azam yang terbaik untuk dicapai oleh diri masing-masing sepanjang tahun ini. Walaupun begitu, bagi aku tahun ni adalah tahun yang akan menguji sejauh mana aku dapat mengadaptasi dan mengasimilasi sepenuhnya hidup aku dalam dunia pendidikan ini yang penuh dengan pelbagai dugaan dan pancaroba dalam menghadapi karenah guru merangkap rakan sekerja aku dan pelajar-pelajar sekolah yang bakal menjadi anak didik aku. Selain itu, pada tahun ini juga aku akan dapat melihat adakah aku dapat mengaplikasikan segala teori pendidikan yang telah dipelajari di universiti selama 4 tahun itu? Aku selalu mendengar kata-kata guru senior semasa praktikal dahulu bahawa ada beberapa aspek yang tidak kurang pentingnya di dalam dunia pendidikan ini masih tidak terdapat di dalam silibus yang diajar di universiti. Mungkin ia benar atau mungkin juga tidak benar bergantung kepada situasi yang dialami oleh sekolah tempat kita mengajar. Bagi aku, gunakanlah kebijaksanaan yang kita ada untuk mengaplikasikan segala teori yang telah dipelajari itu sebab bukan semuanya tidak sesuai. Malahan ada yang amat bagus untuk dipraktikkan di sekolah. Tetapi kadang-kadang kita tak dapat nak mempraktikkannya disebabkan oleh kekangan masa, situasi, bajet dan kemudahan yang ada di tempat itu. Oleh itu, kepada semua kengkawan yang dah jadi cikgu tu, aku ingin mengucapkan selamat mengharungi dunia pendidikan. Semoga kalian dapat menjadi cikgu yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
2. Ini pun merupakan salah satu dugaan yang perlu dihadapi oleh cikgu. Bertugas pada hari cuti umum apabila telah dilantik dalam sesuatu jawatankuasa. Tapi nasib baik cikgu dah cuti panjang masa musim cuti persekolahan. Aku bukan nak citer pasal isu cuti ni tapi nak citer pengalaman aku tidak sengaja terlibat dalam pendaftaran pelajar Tingkatan 1 ni. Pada 1 Januari yang lepas (cuti umum tahun baru tu), aku dan 'housemate', Peja telah pergi ke sekolah sebab kena tolong susun kerusi meja pelajar atas arahan Kak Shikin (sebab aku menjadi AJK di bawahnya) dengan dibantu oleh beberapa orang pelajar Tingkatan 6. Tugasan sebenarnya ialah kami kena susun kerusi meja dan mengalihkan meja kerusi yang terlebih terkurang di semua kelas di sekolah itu iaitu dari Tingkatan 1 hinggalah Tingkatan 6. Itu tugasan aku sebenarnya pada hari tu. Tapi entah semena-mena ada panggilan dari Kak Nurol suruh jadi penjaga kaunter pendaftaran Tingkatan 1 sebab seorang cikgu tu tak datang atas alasan ada kecemasan. Jadi duduk la aku di situ dan secara automatik jadi AJK pendaftaran. Dan syukur takde masalah semasa aku jaga di kaunter tu. Ibubapanya baik2 aje. Cuma dapat melihat bagaimana perbezaan ibubapa yang berpendapatan sederhana dengan ibubapa yang berpendapatan rendah. Rasa tersentuh hati pun ada bila mengenangkan anak yang ibubapanya berpendapatan rendah yang belajar dalam serba kekurangan berbanding dengan anak yang ibubapanya ok. Nasib baik kerajaan ada menyediakan peluang-peluang untuk memohon biasiswa pendidikan kepada ibubapa ini. Jadi dapatlah meringankan beban ibubapa ini dan anak mereka belajar dengan tenang menggunakan kemudahan yang telah diberikan.
3. Petang semalam, aku telah menerima satu panggilan dari sekolah aku. Terkejut jugak. Pada mulanya aku pikir sekolah suruh aku datang 'on the spot' ke padahal aku dah balik Melaka masa tu. Rupa-rupanya dia hanya nak bagitau bahawa aku kena jadi guru kelas untuk Tingkatan 2 Melati. Dan arahannya supaya aku memeriksa kelas itu agar lengkap kerusi meja dan peralatannya. Tak sangka kena jadi guru kelas jugak aku. Nampaknya aku kena berlatih nak cakap apelah dengan budak ni pada hari pertama.