Jumaat, 27 Februari 2009

Keje Oh Keje.

Aduhai minggu ni! Entah sampai bile benda ni nak berakhir. Ada je mende nak datang kat aku. Tak kira la di meja kat bilik guru, kat kantin ke, atau bole dikatakan kat mana2 je la. Itulah dia keje. Sebenarnya kalu dah jadi cikgu ni, bukan hanya kena mengajar je malahan kena melakukan kerja-kerja pentadbiran jugak. Ada mesyuarat la; lepas tu kena wakil sekolah untuk mesyuarat PPD la; masuk jawatankuasa tu, jawatankuasa ini; siapkan itu la, siapkan ini; budak-budak buat hal; dan macam-macam lagi la. Semua ini menuntut kita menyelesaikannya dengan penuh komitmen dan kebertanggungjawaban. Tempoh kerjaya aku pun lama lagi iaitu 35 tahun akan datang, baru dapat bersara. Jadi timbul persoalan di sini apakah daya ketahanan aku terhadap segala cabaran yang mendatang dapat dikekalkan atau ditingkatkan dalam selama tempoh 35 tahun itu? Kadang-kadang dalam duduk2 sambil menyiapkan perancangan mengajar kat kerusi aku tu, ada jugak aku terfikir sampai bila aku boleh bertahan dengan situasi ini. Mungkin ada di antara kalian mungkin mempertikaikan bahawa takkan cikgu nak duduk goyang kaki je atau mengajar je, kena la buat kerja lain jugak sepadan dengan gaji yang dah naik itu. Tapi aku nak bagitau di sini bahawa sekiranya kalian berada di tempat aku, barulah tahu dan mengalami situasi yang dialami oleh aku ini. Walaupun begitu, aku juga turut terfikir adakah mungkin ini adalah satu permainan perasaan yang melingkar serta cuba untuk menganggu-gugat pemikiran dan semangat aku yang masih baru dan kuat dalam menghadapi kerjaya mencabar ini. Jika dilihat kepada rakan-rakan sekerja aku yang lebih senior di sekolah itu, bagaimanakah mereka boleh dan mampu mengatasi rintangan yang mungkin dialami sama oleh aku sewaktu mereka di awal-awal kerjaya perguruan ini? Apakah tindakan mereka untuk menangkis segala kegundahan hati dan perasaan yang melanda di sepanjang perkhidmatan mereka? Oleh itu, untuk menjawab segala persoalan ini haruslah aku ajukan segala persoalan ini kepada mereka supaya dapat aku perbetulkan minda yang sudah terpesong dengan anasir-anasir luaran yang tidak sepatutnya. Sepatutnya aku perlu bersyukur kerana telah mendapat satu pekerjaan tetap yang terjamin masa depannya kalau dilihatkan ke dalam situasi ekonomi yang tidak menentu akibat keruntuhan sistem kewangan antarabangsa yang ditunjangi oleh Amerika Syarikat di mana ramai orang di luar sana menganggur akibat penutupan operasi oleh syarikat luar yang melabur di negara kita. Kesimpulannya, apa yang perlu aku lakukan sekarang ialah perlu senantiasa berfikiran positif agar kerjaya yang aku pilih ini dapat menjanjikan suatu kenikmatan dan kepuasan dalam mendidik anak bangsa Malaysia agar berjaya dan maju selaras dengan tuntutan agama kita.

Sabtu, 21 Februari 2009

Salah Siapa: Guru atau Pelajar?; Mengecat Mural.

1. Sudah lama ya aku tidak mengemaskini blog kesayangan nih. Sudah lari dari tempoh yang biasa aku ambil untuk mengemaskini blog dengan cerita-cerita dan perkembangan terbaru tentang diri aku. Ini semua adalah disebabkan oleh tuntutan kerja yang sentiasa datang kepada aku tanpa diduga. Ditambah dengan mesyuarat sekolah yang perlu dilakukan demi memastikan kelicinan perlaksanaan arahan pentadbiran. Jadi kepada bakal cikgu-cikgi di luar sana yang masih menuntut, inilah realiti kerja yang mesti dihadapi di samping melayan dan mengawal kerenah pelajar-pelajar yang entah pelbagai 'peel'nya. Hari Khamis baru ni, sekolah aku telah mengadakan hari kejohanan sekolah yang mana boleh boleh dipanggil juga sebagai sukan tahunan. Balik je rumah, terus melayang badan ke atas katil atas sebab tahap kepenatan yang tinggi selepas acara itu. Hari Isnin sampai Rabu, sekolah ada ujian bulanan. Memang relaks sangat waktu tu. Tapi bila dah lepas subjek ujian tu, mulalah sampai kertas ujian kelas yang kita ajar tu kat atas meja. Banyak tu nak kena tanda. Bercakap mengenai ujian bulanan sekolah aku baru-baru ni. Aku tak pastilah siapa yang harus dipersalahkan dalam konteks ini. Memang aku akui, aku masih lagi baru dalam dunia pendidikan ini. Akan tetapi apabila dilihatkan kepada prestasi subjek Sains pelajar kelas yang aku ajar, aku rasa amat sedih. Padahal aku dah beritahu tajuk-tajuk yang akan masuk dalam ujian itu, malahan telah diulang beberapa kali semasa dalam proses pengajaran. Namun, pelajar tetap juga tidak dapat menjawab soalan ujian yang telah dihadapi. Soalan pula banyak yang mirip dengan dalam buku kerja Sains yang mereka telah beli. Aku tak tahu nak buat macam mana lagi. Mungkin lepas ni aku terpaksa mengatur strategi pengajaran terbaru supaya pelajar dapat memahami dan menyerap segala ilmu yang aku telah ajar. Atau mungkinkah juga Tuhan ingin menduga aku dengan cabaran ini. Walau apapun, aku tetap akan terus memperbaiki dan berusaha untuk mendidik pelajar-pelajar di bawah tanggungjawab aku supaya mereka berjaya dengan cemerlang dalam subjek Sains ini.
2. Dalam 2 minggu ni, aku juga telah ditugaskan dengan beberapa rakan aku untuk menyiapkan satu lukisan mural atas arahan pengetua. Kami nak tak nak kenalah mengorbankan cuti hujung minggu untuk menyiapkan mural ini bersama dengan beberapa pelajar Tingkatan 6 . Walaupun aku tidak berapa mahir dalam lukisan seni ni. Tapi cukuplah sekadar aku mahir mengecat huruf-huruf yang diperlukan. Sebenarnya, melukis mural ini telah menjadi tradisi bagi guru-guru yang baru seperti aku untuk terlibat kerja seperti ini. Kalau tak percaya boleh tanya cikgu-cikgu yang dah lama mengajar. Mereka pasti pernah ditugaskan untuk buat benda ni. Syukur aku kerana kesemua huruf yang harus ditulis telah siap dicat. Cuma tinggal nak buat sedikit kerawangnya sahaja. Tugas membuat kerawang itu telah ditugaskan kepada orang lain. Yang pasti tugas aku dah hampir selesai dan tak sabar nak lihat hasil akhirnya.

Khamis, 12 Februari 2009

Pelantikan Sebagai Guru Disiplin. Pengalaman Pertama Jadi Guru Bertugas.

1. Agak mengejutkan apa yang berlaku hari ni. Dan memang aku tak sangka betul benda macam ini boleh berlaku. Aku secara rasminya kini telah bergelar sebagai salah seorang guru disiplin sekolah yang bertindak sebagai satu unit pengawalan disiplin pelajar dan penguatkuasaan peraturan sekolah. Pelantikan ini telah disampaikan oleh Cif Insp. Rosnani binti Azhar, Pegawai Perhubungan Sekolah di daerah Batu Pahat [muda lagi polis ni] selaku perasmi bagi Majlis Pelantikan Guru Disiplin, Pengawas dan Ketua Tingkatan pada pagi tadi. Sebenarnya aku diletakkan dalam bahagian E-Disiplin iaitu salah satu cabang dalam Unit Disiplin Sekolah. Bahagian ini berfungsi sebagai membuat rekod disiplin pelajar secara berkomputer [sebab pihak sekolah tahu aku ni pandai skit dalam bab2 komputer ni] di mana dari situ segala kesalahan pelajar akan diberikan merit markah berdasarkan tahap kesalahan pelajar tersebut dan seterusnya dijana merit itu untuk melihat tahap keseriusan disiplin pelajar terbabit. Aku ingatkan jadi guru biasa je dalam bahagian E-Disiplin. Rupa-rupanya kena bertindak juga sebagai guru disiplin. Nak tak nak terima jelah. Sekurang-kurangnya aku dapat menimba serba sedikit pengalaman dalam bidang menangani disiplin pelajar di sekolah ini. Yang menariknya di sini pihak sekolah juga telah sudi untuk menyediakan juga sebatang rotan kepada setiap guru disiplin ini dan termasuklah aku. Kepada sesiapa yang mengenali aku, mesti tak percaya dengan semua ini kan.
2. Minggu ini aku juga telah bertindak sebagai guru bertugas dengan bersama beberapa orang guru lain kalau dilihat pada takwim sekolah. Walaupun ini kali pertama aku menyandangnya, aku akan berusaha dengan sedaya upaya untuk dilaksanakan dengan sebaiknya dan penuh kebertanggungjawaban. Pada hari ini, aku juga telah merasai pengalaman tentang bagaimana untuk menguruskan pelajar yang sakit. Setakat ini ada dua kes pelajar yang sakit aku uruskan. Kes yang pertama ialah pelajar yang demam atau sakit yang biasa-biasa. Jadi di sini, pelajar hanya dikehendaki mengambil borang sakit di pejabat dan terus pergi ke klinik yang terletak sangat berdekatan dengan sekolah aku ni. Untuk kes yang pertama ni, aku kena berhati-hati sikit sebab pelajar boleh mempergunakan borang sakitnya untuk pergi melepak-lepak di luar. Kes yang kedua pula ialah aku dikehendaki untuk membawa pelajar ke klinik sebab dia tak larat nak berjalan. Lepas tu, aku ingatkan sakit dia tak serius sangat. Setakat amik cuti sakit atau dipanggil MC dan terus balik ke rumah dia. Rupa-rupanya sakit pelajar ni dah melarat sehingga sesak nafas dibuatnya. Terus ambulan dipanggil dan dirujuk ke hospital besar di bandar. Aku dah gabra sikit waktu tu. Maklum la kali pertama dalam pengalaman aku ni. Terus bagi tau Kak Yam, salah seorang rakan sekerja yang memang baik dengan aku bagi panduan tentang apa yang harus lakukan. Kena la aku pergi sekali ke hospital tu untuk melihat perkembangan pelajar itu selagi ibubapanya tak sampai lagi. Akhirnya dalam pukul 3 petang, sampai juga ibubapa pelajar tu. Ada dalam 2-3 jam masa yang diambil untuk aku tunggu tu. Aku rasa lega lah sebab bosan sangat semasa tunggu kat bahagian kecemasan hospital tu. Sampai naik mengantuk dibuatnya. Pada masa yang sama, kiranya lepaslah tanggungjawab aku. Jadi sekarang aku dah memiliki pengalaman itu.

Sabtu, 7 Februari 2009

Alangkah Bahagianya Cuti Hujung Minggu Ni.

Semenjak aku dah menjadi seorang guru kini, cuti hujung minggu adalah hari yang paling aku nantikan. Rasa macam bahagia hidup ari tu. Iyelah. Waktu nilah baru aku dapat merehatkan minda dan fizikal setelah mengharungi lima hari persekolahan dengan segala beban kerja dan melayan kerenah bebudak di kelas yang pelbagai tu. Semalam petang, aku telah pergi membeli-belah sikit barang-barang keperluan aku di rumah. Biasanya makananlah yang selalu aku beli di situ sebagai stok tambahan di kala perut mengeroncong tiba-tiba di samping beberapa perkakas alatulis. Bila dah beli barang-barang tu, aku rasa macam lega sikit otak ni. Nak lepaskan stress la katakan. Sambil tu, sempat aku balun satu snack plate KFC ditambah dengan cheezy fried fries. Huhu. Ini ke gaya menu orang nak turunkan berat badan. Aku tak tau la. Per2 pun yang penting aku 'enjoy'. Walaupun begitu, aku tidaklah seratus peratus tak buat apa-apa kat umah ni. Adalah sikit keje kena buat. Kemas umah tu biasa lah bagi aku kalau hujung minggu ni. Lagi satu aku kena siapkan soalan ujian Sains untuk Tingkatan 2 yang akan dijalankan pada 2 minggu akan datang. Guru panitia dah siapkan jadual tu untuk giliran membuat soalan ni dan dalam jadual tu pulak aku yang kena buat untuk ujian pertama ni. Soalan dah pilih cuma tinggal nak taip dalam komputer je sebab minggu depan nak kena cetak soalan tu. Nasib baik ada tambahan satu hari cuti iaitu cuti hari Thaipusam. Takde lah tertekan sangat nak menyiapkannya.

Khamis, 5 Februari 2009

Politik Tanahair Kita Kembali Bergegar.

Amat mengejutkan kalau kita baca peristiwa politik akhir-akhir ini di mana terpampangnya di dada akhbar media arus perdana kita dan tidak terkecuali di aliran media alternatif yang kita tahu. Aku juga tidak terkecuali untuk turut mengikuti perkembangan ini. Dan sememangnya aku suka kalau perkara berkenaan bab politik ni. Hampir semua media ini memaparkan mengenai bagaimana kejatuhan kerajaan negeri Perak yang di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat hasil daripada apa yang boleh dikatakan sebagai 'tangan ajaib' BN. Seperti yang kita maklum, Badan Perhubungan UMNO Perak kini telah dipimpin oleh TPM kita. Oleh itu, dengan menggunakan kepakaran 'melesap' yang dimilikinya sebelum ini, akhirnya ketiga-tiga ADUN yang berjaya dilenyapkan sebelum ini dapat dijelmakan semula sebagai calon Bebas yang diyakini berpaksikan kepada BN. Ditambah lagi dengan keputusan Datuk Nasa yang telah mengisytiharkan telah keluar dari UMNO, mengejutkan kita dengan menyatakan untuk kembali semula ke pangkuan UMNO. Pelbagai reaksi berbeza dari pemimpin berkaitan turut aku dengar mengenai cara kejatuhan kerajaan negeri Perak ini. Yang paling menarik, aku juga mendapati ada beberapa orang UMNO yang berpengalaman tidak bersetuju dengan kuasa 'tangan ajaib' BN ini. Berdasarkan apa yang aku faham, mereka mengatakan bahawa ia boleh membawa kesan buruk kepada UMNO yang masih lagi dalam usaha pemulihan kerana sanggup menerima dua orang ADUN yang akan dibicarakan dengan tuduhan rasuah seks pada 10 Februari ini. Boleh tak korang bayangkan UMNO sanggup menerima orang yang macam ini? Selain itu, ia juga turut boleh memberi kesan kepada BN dalam menghadapi PRU13 yang akan datang. Malahan Tun Dr. Mahathir juga tidak ketinggalan turut meluahkan pandangan beliau terhadap perkembangan ini dan kurang bersetuju dengan tindakan yang diambil ini. Dikatakan juga, kenyataan SPR mengenai pengesahan surat peletakan jawatan oleh dua ADUN tersebut sebelum ini juga turut dikaitkan dengan strategi BN untuk mengelakkan pilihanraya diadakan kalau berdasarkan perkembangan pilihanraya kecil sebelum ini yang berpihak kepada Pakatan Rakyat. Oleh itu, marilah kita sama-sama renungkan sampai bila politik kita perlu macam ini. Kasi matanglah sikit. Biar sesuai dengan usia kemerdekaan negara kita yang dah 52 tahun. Rakyat pun dah pandai fikir tentang agenda yang sedang berlaku sekarang ini.

Nota: Kemasukan [entry] ini bukan bermaksud aku ni pro-Pakatan Rakyat. Tapi sekadar untuk meluahkan pandangan aku mengenai peristiwa yang berlaku di tanahair kita ini. Pandangan ini adalah hasil pembacaan aku di blog, media arus perdana dan tidak ketinggalan media alternatif.

Selasa, 3 Februari 2009

Tugasan Baru Selepas Cuti. Kelas Pinch.

1. Setelah aku berehat selama lebih seminggu di rumah bersempena perayaan Tahun Baru Cina baru ni, kini aku telah kembali ke sekolah untuk meneruskan tugas-tugas memberi pendidikan kepada anak bangsa Malaysia. Sebenarnya aku ingin mempercepatkan silibus matapelajaran Sains yang agak terbelakang sedikit berbanding kelas-kelas lain yang diajar oleh guru senior. Mana taknya. Aku masih lagi baru dengan sukatan pelajaran Sains ini. Amat mustahil untuk dibandingkan sukatan pelajaran pada zaman sekolah menengah aku dahulu. Keseluruhan isi kandungan sukatan pelajaran telah diolah supaya sesuai dengan kehendak semasa. Dan pada masa yang sama juga masih lagi cuba untuk mengadaptasi teknik pengajaran dan pembelajaran aku dengan suasana pelajarnya yang sungguh berbeza berbanding semasa aku praktikal dahulu. Amat jauh perbezaannya. Dahulu semasa praktikal, aku telah ditempatkan di sekolah berhampiran dengan bandar, tetapi kini apabila sudah menjadi guru, aku ditempatkan pula sekolah di pinggir bandar. Namun begitu, aku juga berharap akan kurangnya tugasan selepas cuti ini. Akan tetapi, jangkaan itu meleset kerana kini aku telah dilibatkan pula dalam penganjuran sukantara sekolah yang mana aku telah dilantik sebagai hakim bagi acara melontar peluru. Pandai betul mereka meletakkan aku di acara ini sementelahan mungkin melihatkan saiz badan aku yang agak gempal. Selain itu, aku dan beberapa rakan guru baru turut dilibatkan dalam melukis mural di tempat yang telah dipersetujui oleh pihak sekolah. Walau apapun, aku menganggap benda ini adalah sebagai perkara tradisi yang selalu akan dialami oleh semua guru baru. Nak tak nak kena terima juga. Satu lagi, aku turut diamanahkan untuk menggubal soalan ujian pertama bagi matapelajaran Sains Tingkatan 2. Di sini ada pro dan kontranya. Yang kontranya ialah ia telah menjadi satu lagi tambahan tanggungjawab kepada aku manakala yang pronya ialah aku dapat menggubalnya setakat mana tajuk yang aku dah ajar kat kelas aku dan juga bersesuaian dengan tahap pelajar aku.
2. Pernahkah korang mendengar kelas Pinch? Aku juga baru mengetahui tentang konsep kelas ini apabila telah ditempatkan di sekolah ini. Kelas ini agak menarik juga untuk diketahui kerana menurut pihak sekolah, kelas ini dibuka untuk pelajar yang masih lagi belum mahir dengan kemahiran membaca dan menulis [kemahiran 2M]. Secara umumnya, mereka perlu menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Yang terkini aku dengar, pelajar perlu menguasai kemahiran 4 M pula iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Jadi di sini, terang-terangan aku dapat melihat bahawa tanggungjawab sekolah rendah kini telah dipindahkan atau dibebankan ke sekolah menengah pula. Sepatutnya pelajar ini tidak boleh dimasukkan ke sekolah menengah kerana dua kemahiran ini masih belum dikuasai. Tetapi terpaksa dimasukkan juga mungkin atas desakan ibubapa mereka yang tidak ingin melihat anak mereka masih lagi di takuk lama. Akibat daripada itu, pelajar ini akan menjadi mangsa keadaan kerana ketinggalan dalam pelajaran mereka disebabkan kurangnya penguasaan dalam kemahiran membaca dan menulis ini. Aku difahamkan juga kelas ini biasanya diwujudkan di sekolah pinggir bandar seperti sekolah tempat aku mengajar. Dan satu lagi, pelajar yang selalu menjadi ahli kelas ini adalah pelajar berbangsa Cina di samping pelajar Melayu. Ada juga pelajar Cina yang menjadi ahli kelas ini tidak boleh memahami Bahasa Melayu yang dituturkan oleh guru yang mengajar. Korang boleh bayangkan dah 52 tahun negara kita merdeka, masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa kebangsaan. Di manakah silapnya sistem pendidikan kita?